Malu sebahagian dari iman…

Tazkirah di Masjid IOFC.

oleh : mesrarakyat

Secara ringkasnya, untuk memberikan tazkirah adalah amat mudah dari segi teknikalnya. Tetapi, sebenarnya tidaklah semudah yang disangka kerana kita perlu padatkan isinya dan hanya boleh menyampaikan dalam masa 15 minit sahaja. Sejak mula belajar berceramah, perkara yang paling dielak sekali ialah MEMBACA TEKS di hadapan umum. Ini kerana menganggu kosentrasi mengembangkan isi dengan baik. Terpulang kepada penceramah.

"Malu itu semuanya kebaikan"

Tajuk malam ini adalah sifat malu. Orang barat ada menafsirkan malu adalah sebahagian dari gangguan psikologi atau gangguan jiwa. Tetapi di dalam Islam, malu itu ditafsirkan oleh Imam Nawawi di dalam Syarh Muslim iaitu satu sifat yang terpuji yang boleh memberi kesan kepada kita meninggalkan dosa-dosa. Ini membawa maksud malu yang dimaksudkan disini adalah malu melakukan dosa kerana Allah melihat setiap perbuatan kita.

Kelebihan sifat malu paling besar ialah DUA perkara :

1- Iman makin mantap. Ini sesuai dengan hadith dari dua kitab hadith yang paling sahih “Iman itu lebih 70 cabangnya, paling tinggi lafaz LAILAHAILLAH, paling rendah sekali ialah mengalihkan duri dari memudaratkan orang”. Ertinya malu sebahagian dari iman dan termasuk di dalam lebih 70 cabang iman tersebut.

2- Kebaikan seluruhnya. Orang yang malu pada ertikata yang sebenarnya mendapat kebaikan. Hadith sahih bermaksud “Sifat malu itu semuanya adalah kebaikan”. Ertinya kalau kita malu nak melakukan dosa, malu mendedahkan aurat, malu memakai benda2 yang diharamkan, kita beroleh kebaikan bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

SALAH FAHAM MALU

Ada beberapa perkara yang patut dielakkan iaitu :

1-Malu menuntut Ilmu.

2-Malu membela kebenaran.

Ibnu Solah menyebut bahawa perkara tersebut bukan kategori malu tetapi masuk di dalam kategori ‘pengecut’ dan menghinakan dirinya sendiri. Islam sama sekali tidak pernah mengajar umatnya malu menuntut ilmu dan membela kebenaran.

Kalau kita lihat dan perhatikan di dalam kitab-kitab Feqah, banyak soalan yang pada anggapan kita ‘luar biasa’ diajukan kepada isteri dan Baginda. Kita ambil contohnya Abu Musa Ays’ari pernah bertanya kepada isteri Baginda, Aisyah dengan solat yang mewajibkan mandi. Lalu Aisyah menjawab “jika terkumpul 4 kaki (berjimak/bersetubuh), khitan bertemu khitan, maka wajiblah mandi”. Pada anggapan kita, soalan begini ‘sensor’ dan tidak boleh, tetapi di dalam agama ia termasuk soalan hukum hakam yang wajib kita ketahui.

Satu lagi contoh apabila muslimat Ansar bertanya kepada Baginda “Ya Rasulullah, Allah tidak pernah malu perkara yang benar, adakah perempuan yang bermimpi juga diwajibkan mandi? Baginda menjawab : (Ya) apabila ia terlihat air”. Perkara begini sangat pelik bagi wanita sekarang kerana tidak pernah tahu perempuan juga wajib mandi disebabkan ihtilam (mimpi basah) sama seperti lelaki.

“Betul ka ustaz, ada juga perempuan kena mandi wajib sebab bermimpi?”

“Hadith Baginda telah menceritakan 1400 tahun yang lalu…”

Diam.

Akhir kata, malunya kita menuntut ilmu hanya kerana benda-benda sebegini menyebabkan kita bertambah jahil dan bertambah tidak tahu hukum hakam di dalam kitab feqah.

Wallahua’lam

Teka-teki…

Di dalam kelas, kadangkala teka teki menceriakan kelas. Tidak disangka-sangka budak yang orang anggap ‘lembab’ sebenarnya mempunyai minda yang cerdas belaka. Dari kelas 2 Ikhlas saya mula iklankan :

“Mari jual teka teki pada ustaz, semua ustaz boleh jawab” ujarku tanda menarik minat murid yang kebosanan menulis dan menjawab soalan bahasa arab di buku kerja.

Hampir semua murid merebut tempat dekat denganku untuk ‘menjual’ teka teki mereka. Mereka yang menjual teka teki ini adalah segolongan murid yang pintar kerana suka berfikir dan minda yang kreatif.

“Sebelum tu, ustaz akan jual teka teki terlebih dahulu” perangkapku.

Semua murid terdiam.

“Soalan paling senang, singa apa yang paling besar!” soalku

“SINGAPURA” jawab Hana.

“Betul, pandai!” puji kepada Hana, salah seorang murid yang sentiasa pertama menyiapkan kerja Bahasa Arab.

“Ok, sila jual kepada ustaz pula” tarik minat murid.

“Teka teki teka tekuk (stail teka teki budak2), kita dapat dengar tapi kita tak dapat sentuh” soal Farish.

(Gulp… alamak, tak pernah dengar pula..)

“Jantung!” jawabku

“Salah!” yakin si Farish (seorang budak yang suka aku datang, baru terbuka buku arabnya) menyalahkan aku.

Akun (mengaku kalah) la ustaz…” pujuknya

“Mana boleh, ustaz mesti fikir..” bodekku.

“Ya kan, Allah tidak suka orang yang putus asa” jawabnya

Tergamam aku si Farish boleh berkata sedemikian rupa. Rupa-rupanya, dia ada minda yang bagus-bagus, dan aku baru tahu muridku bagus dari segi mindanya, walaupun sedikit masalah dalam pembelajaran.

“Oklah..” biarkan tidak terjawab ataupun memang aku bukan tahu!

“Jawapannya SUARA, kita dengar suara kita, tapi tidak dapat dipegang jua, ustaz” jawabnya disambut hilai ketawa di kelas 2 Ikhlas. Sememangnya kelas aku adalah antara paling bising kalau P&P sedang berlangsung.

“Ok, ustaz soal satu soalan sebelum ustaz keluar kelas..” balas semula.

Semua diam.

“Binatang apa yang matanya di kepala, tangannya di kepala, kakinya di kepala, pusatnya di kepala, dan semua la dikepalanya..” soalku.

Ternganga budak 2 Ikhlas.

Qiyaamannn!! (Berdiri) tanda aku keluar kelas.

Aku meninggalkan murid 2 Ikhlas dengan mulut yang ternganga.

Keesokan harinya (Sabtu 21 Ogos 2010), Hana datang dengan gagahnya. Aku tahu jawapannya “KUTU!”

“Ya, kau memang pandai!” pujian lagi untuk galakan kepada murid.

My Hero!

Sebenarnya aku mau mencari kelainan dalam pengajaran agar aku sendiri tidak bosan mengajar. Minggu ini aku buat stail teka teki di akhir kelas 3 Ikhlas, 3 Cekap, 1 Ikhlas dan 2 Ikhlas. Dan banyak juga membaca buku bagaimanakah nak menarik murid untuk minat belajar subjek yang kita ajar, apatah lagi subjek aku ini adalah ELEKTIF. Ertinya, tidak semua orang ambil peduli pelajaran yang aku ajar, tetapi sampai MATI PUN AKU MINAT BAHASA ARAB. Dan aku sering ingat kata orang cerdik pandai motivasi, sebelum masuk kelas YAKIN KAMU ADALAH GURU YANG PALING HEBAT disisi murid-murid..

Alhamdulillah..

Minggu depan apa pula versi ‘tarik minat murid’??

Teka-teki murid 3 Ikhlas, Mohd Iqwan:

Benda apa yang turunnya lambat, naiknya cepat!

Jawapan : (cari sendiri la)

Kuih Lapis termahal di dunia…

soalan hari ini : kek lapis paling mahal di dunia?

Alhamdulillah, sudah beberapa hari kita berpuasa dan kita benar-benar sihat, malah lebih sihat dari bulan-bulan yang sebelum. Ini disebabkan ‘kilang proses makanan’ kita sedang berehat. Semua organisasi perlukan rehat yang secukupnya.

Kilang pun ada masa rehatnya. Kemudian, setelah dihidupkan semula, ia semakin produktif. Kilang bola ikan, kilang keropok, kilang belacan dan apa jua jenisnya perlukan masa untuk rehatkan mesin-mesin gergasinya. Jika diteruskan 24 jam tanpa rehat menyebabkan rosak atau hancur. Rehat tersebut hanya untuk menjamin pengeluaran bertambah dari sebelumnya.

Kedai 24 jam? Rehat masih diperlukan. Ini kerana pekerja-pekerja di kedai 24 jam akan bertukar giliran masing-masing ketika bekerja. Malah, perisian komputer yang digunakan di kedai 24 jam pun perlukan pertukaran secara kerap, disebabkan terlalu lama waktu bekerja menyebabkan ia semakin lembap! Dan kedai 24 ini juga perlukan CUTI walaupun sehari untuk merangka kembali strategi yang paling hebat untuk melariskan jualan mereka!

Begitulah jua Ramadhan, kita akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya dari segi FIZIKAL dan ROHANI. Walaupun orang kata, berpuasa dapat menguruskan badan tetapi bukan itu sebab utama pensyariatan kewajipan berpuasa. Itu hanya sampingan semata-mata. Kita berniat pun dihujung niat tersebut kita sebut lillahita’ala bermaksud KERANA ALLAH semata-mata.

Rohani atau ruh dalaman kita akan bertambah sinarnya. Ini kerana amalan kebajikan digandakan pahalanya sehingga mudah kita mendapat pahala dan dosa akan dihapuskan oleh Allah dengan banyaknya. Itulah Ramadhan, bulan penghapus dosa-dosa. Ruginya kita tidak manfaatkan bulan ini untuk melatih diri sendiri menjadi lebih ‘kuat’ dari segi zahir dan batin.

Jangan lupa tambah ilmu berpuasa. Bacalah buku-buku agama. Jangan segan beli buku agama. Setidak-tidaknya, majalah SOLUSI pun boleh majalah kegemaran anda berbanding majalah yang lain. Jangan malu bertanya untuk menjadi lebih tahu dan beramal dengan perkara tersebut. Puasa ini mudah. Ada beberapa asas dalam ilmu puasa.

Puasa ada beberapa lapisan asas :

1. Niat

2. Sahur

3. Jaga pantang larang puasa

4. Berbuka

Kalau kita dapat jaga asas tersebut, maka jadilah puasa kita mantap dan kukuh. Kita tidak perlulah bercerita dengan lebih panjang, jika asas puasa tersebut tidak dapat dijaga dengan elok.

“Jadi, apalah kek lapis paling mahal di dunia?”

“Kek lapis paling mahal ialah KEK LAPIS YANG PALING MAHAL HARGANYA..”

“Laaaaa………………….”

Ahlan Ya Ramadhan 1431H

Assalamualaikum wbt…

Ahlan Ya Ramadhan, tiada kata lain yang layak bagi Ramadhan yang tiba untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Mudah-mudahan iman kita makin mantap dan teguh. Jangan lebur, lemah dan luluh.

Ramadhan Kareem

Ramadhan itu disebut di dalam kitab Fiqhul Ibadadat ala mazahib asSyafiie sebagai dua :

1. Bulan yang kering dan panas.

2. Bulan penghapus dosa-dosa.

Ini juga adalah ilmu di dalam bulan Ramadhan. Kalau kita rajin membaca, banyaklah kita dapat manfaatnya. Yang penting, jangan lupa sampaikan kepada sahabat dan taulan agar dapat pahala yang banyak dan tidak putus-putus dari Allah Ta’ala.

Mari berpuasa..Hayya nasuum…