Jangan marah…

“Macammana nak ke Kampung Gersik?” tanya Ahmad.

“Saya tak ada masa la! awak tanya orang lain!” jawab Abu dalam keadaan marah.

“Kot ye pun, jangan la emosi sangat” sambung Ahmad

“Aku tengah ‘panas’ nih! Kau jangan cari pasal!” gertak Abu

“Buruknya muka k0, patut la nabi kata Syaitan itu akan mengalir di dalam saluran darah kita, muka ko merah, emosi tak stabil, oklah akhir kata aku nasihatkan ko JANGAN MARAH! Cuba ingat apa kita belajar dalam kelas hadith tempoh hari, Assalamualaikum…”nasihat Ahmad, geng rapat Abu.

Terdiam si Abu…

anger management

Wah, sebut sahaja filem orang putih ramai yang sudah khatam menontonnya. Tetapi sebenarnya Baginda sudah sebutkan 1400 yang lalu, malangnya kita sendiri tidak memahami dengan baik maksud Baginda.

Rasulullah sebut ketika seorang lelaki itu meminta nasihat kepada dirinya, lalu Baginda hanya menyebut “jangan marah”. Ianya direkodkan di dalam Sahih Bukhari. Perkataan Baginda tersebut bukan hanya ditujukan kepada lelaki itu tetapi juga kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad.

Ada beberapa pengajaran yang baik di dalam kisah dan hadith tersebut :

Pertama : Kembali kepada Allah dengan berdoa. Ini kerana Allah sahaja boleh menolong kita redha dari kemarahan tersebut.

Kedua : Sebut “A’UZUBILLAHI MINASSYAITONIRRAJIM” yang maknanya aku berlindung dengan ALlah dari Syaitan yang direjam!” Kalimah ini diajar di dalam hadith baginda yang lain.

Apabila kita semakin marah, syaitan gelakkan kita tanda dia sudah berjaya masuk di dalam saluran darah kita dengan banyak. Tak mustahil, orang-orang yang kerasukan juga ada kaitan dengan masalah peribadi sehingga menyebabkan tidak dapat mengawal diri, tidak dapat mengawal tekanan dan pelbagai masalah yang tidak selesai sehingga membuatkan unsur-unsur lain ‘terjah’ ke dalam diri.

Ketiga : Ujian dari Allah. Marah itu juga sebagai kayu ukur ujian samada kita ini benar-benar hamba yang bertaqwa kepada Allah atau kita main layan sahaja perasaan marah sehingga orang yang beristeri boleh menceraikan isterinya, anak yang kecil sanggup dibelasah, muka yang cantik sanggup dilukakan hanya kerana MARAH.

Keempat : Berhenti dari bercakap apabila marah dan tukarkan kedudukan anda. Ini adalah tips yang paling banyak dipakai oleh pakar motivasi. Sebenarnya jelas-jelas diambil dari hadith Baginda Rasulullah. Kalau tak percaya, cuba cari kitab RIYADUSSOLIHIN karangan Imam Nawawi dan carilah sendiri! Tentu anda terkejut, teks itu adalah berpunca dari mulut Baginda Rasulullah. Hadithnya :

( إذا غضب أحدكم وهو قائم فليجلس ، فإن ذهب عنه الغضب وإلا فليضطجع ) رواه أبو داود .

“Apabila seseorang itu marah, dia hendaklah duduk jika dia dalam keadaan berdiri, jika tidak, baringlah ia” [Riwayat Abu Dawud]

Kelima : Bertafakkur punca-punca kemarahan tersebut

Keenam : Latih diri bertenang dan cuba senyum kembali. Pastikan akhirnya anda berwudhu menghilangkan terus kemarahan tersebut.

Wallahua’lam

Tips diambil dari artikel arab di : http://www.islamweb.net/media/index.php?page=article&lang=A&id=65680

Keluar dari kejahilan…

Seseorang yang banyak membaca dapat membezakan dirinya dari orang lain. Sama juga lah seperti para ulama fekah, mereka sentiasa tersenyum dengan kehidupan harian mereka. Mereka rasa mudahnya agama Islam kerana dari sekecil-kecil bab bersuci sehinggalah bab mengurus negara secara teorinya mereka sudah kuasai. Tinggal lagi, mereka akan mula mengamalkan di dalam kehidupan harian mereka.

Setiap hari orang bertanya “apa hukum..” “sah atau tidak sah..” dan sebagainya dalam hukum fekah. Kenapakah kita sebut ulama fekah tersenyum. Disebabkan mereka sudah dapat keluar dari masalah tersebut dan menjadi rujukan pula kepada orang lain. Ilmu fekah itu memang penting. Ini juga hasil pembelajaran dan pembacaan yang tidak pernah putus-putus. Bayangkan bagaimana Imam Nawawi seorang ulama yang bujang telah mengarang dalam kitab Majmuk tebalnya beribu-ribu muka surat menguasai ilmu fekah dengan hebat. Sehingga rujukan tersebut dirujuk sehingga kini walaupun Imam Nawawi sudah pun meninggal dan meninggalkan kita.

Kita sebenarnya hanya perlu membaca dan mengamalkan apa-apa ilmu yang bermanfaat. Apatah lagi, benarlah kata Abbas Aqqad mengatakan membaca itu menjimatkan umur kita. Maksudnya? Seseorang yang kaya lebih kurang 30 tahun menghabiskan eksperimennya menjadi kaya mula menulis buku dan memberikan pengalamannya, tetapi kita yang berusia 20 tahun, hanya 2 hari menghabiskan buku tersebut dan mula mengamalkan ideanya pada hari ke 3. Bayangkan betapa jimatnya masa dan umur yang kita dapat hanya hasil dari kita membaca.

sedang dalam pembacaan

Bacalah…baru anda tahu siapa diri anda yang baru setelah anda membaca satu-satu karya yang bermanfaat.

Seminit lalu…

Ada yang seminit yang lalu dia di Labuan, seminit kemudian di dalam kapal terbang menuju ke Kelantan, seminit lalu dia bujang, seminit kemudian dia menjadi suami kepada isterinya, ada yang seminit menjadi isteri orang, seminit kemudian menjadi janda, ada seminit menjadi janda, seminit kemudian bernikah pula dengan yang lain…

Ada yang seminit tiada ilmu, seminit kemudian bertambah ilmunya, seminit lalu dia suci tanpa dosa, seminit kemudian dia melakukan dosa besar, seminit lalu dia berdosa besar, seminit kemudian dia suci kerana sudah bertaubat, seminit lalu dia bukan islam, seminit kemudian dia suci seperti bayi kerana mengucap dua kalimah syahadah…

Seminit lalu dia hidup, seminit kemudian bertemu ALLAH…

كل نفس ذائقة الموت

Masa itu emas, manfaatkanlah sebaiknya. Masa itu sangat pantas dan sangat tajam. Bak kata pepatah arab “masa itu ibarat pedang, jika kamu tak potong maka kamu akan terpotong olehnya”…

Wallahua’lam

Mari membeli buku dan membaca di e-store saya.

Ingat sebelum 7

antara usaha untuk selamatkan diri dari fitnah dajjal dengan membaca surah alkahfi

Kitab : Riyadussolihin

Tajuk : Berlumba-lumba melakukan kebaikan

Lokasi : Masjid AnNur, WP Labuan

Imam Nawawi menukilkan sebuah hadith Rasulullah yang mana ada kaitannya dengan bab berlumba-lumba dalam mengerjakan kebajikan dan kebaikan. Sebuah hadith riwayat atTirmizi yang menceritakan bahawa Baginda mengingatkan kita agar melakukan kebaikan sebelum 7 perkara ini datang. 7 perkara tersebut jika ia datang, ia sedikit sebanyak menghalang niat kita untuk melakukan kebaikan dengan sempurna. Baginda sebut agar kita segera melakukan kebaikan sebelum :

1- Kemiskinan yang merosakkan.

Mengapa Baginda sebut merosakkan? Ini kerana ada orang yang miskin tetapi masih ingatkan Allah. Kita takut, apabila kita jatuh miskin, kita sudah mula melupakan segala nikmat yang telah Allah kirimkan sebelumnya. Akhirnya, kita caci, kita maki, kita kutuk semua pemberian Allah dan kita tidak tahan tersebut ujian tersebut. Ini kan merosakkan! Oleh itu segeralah buat kebaikan sebelum kita jadi miskin yang tidak ingat dan tidak sabar atas ujian Allah ini.

2. Kaya tapi sombong

Nabi sebut kaya yang sombong. Ini juga bermaksud ada orang yang kaya tetapi pemurah seperti Abdurrahman bin Auf. Apabila kita mula menjadi kaya tetapi kita sombong kepada makhluk apatah lagi sombong kepada Allah, kita pasti tidak akan berupaya lagi melakukan kebaikan. Ini kerana sifat sombong yang ada dalam kategori mazmumah itu mencacatkan usaha kita berbuat kebaikan. Apatah lagi, orang yang sombong dengan hartanya itu tidak lagi ingin bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah itu secara percuma dan sementara.

3. Sakit yang merosakkan.

Sakit juga ada dua jenis. Ada yang sakit tetapi masih ada harapan sembuh seperti demam, kudis dan sebagainya. Yang disebutkan merosakkan disini ialah sakit yang hampir tiada harapan sembuh seperti kanser pada tahap yang sangat kronik, orang yang sedang dalam keadaan koma dan sebagainya. Jika kita berada di dalam situasi ini, kita tidak lagi dapat melakukan sedekah, solat, membantu saudara kita dan sebagainya yang dianggap amal-amal soleh.

4. Tua yang nyanyuk.

Ertinya ada tua yang masih bagus memorinya. Dan ada pula yang nanyuk. Nak mengelakkan nanyuk ini dalam bab yang lain. Cuma baginda sebutkan disini apabila kita ditakdirkan tua yang nanyuk, kita tidak lagi dapat berpeluang melakukan kebaikan. Ini kerana kita pun tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk pada ketika itu.

5. Mati mengejut.

Kita selalu berdoa agar kita mati dalam keadaan yang baik (husnul khotimah). Saya pun tidak tahu dimanakah dan bagaimana cara mati yang akan ditakdirkan oleh Allah. Ini kerana pada masa ini, peluang berbuat kebaikan sudah tiada ada. 0% untuk melakukan kebaikan. Yang ada, hanya ada zuriat yang soleh, sedekah jariah yang pernah kita salurkan dan sebagainya dari khidmat kita sewaktu hidup. Tetapi jika zuriat pun sibuk melakukan dosa, kita juga akan terkena tempiasnya!

6. Zahirnya Dajjal.

Ini antara fitnah terbesar. Doa-doa yang nabi ajarkan juga adalah merujuk agar kita dielakkan daripada terkena fitnah Dajjal. Ini kerana bila-bila masa syahadah kita akan tertanggal jika iman kita lemah dan tidak kukuh berada di dalam dada. Kita tidak sempat melakukan kebaikan lagi secara sempurna kerana fitnah tersebut mula meresapi pelusuk alam pada ketika itu dan keadaan menjadi huru-hara.

7. Kedatangan Hari Kiamat.

Inilah fitnah paling dahsyat. Nabi pernah sebut bahawa manusia yang hidup pada ketika hari-hari terakhir bumi akan dihancurkan, manusia dalam keadaan paling jahat! Tidak ada harapan melakukan kebaikan pada waktu ini.

Semua yang baginda sebutkan 7 perkara ini adalah sebagai ujian daripada Allah. Oleh itu, marilah kita sama-sama bersegera melakukan kebaikan samada sedekah, solat, memberi makan anak yatim, menolong orang yang sudah tua, membanting tulang membantu ibu bapa dan sebagainya sebelum datang 7 perkara yang disebutkan diatas.

PS : Sengaja saya letak nama kuliah, kitab dan lokasi agar orang yang salinkan artikel ini tidak sewenang-wenang ciplak hak milik orang. Tidak mengapa untuk dijadikan sebaran ilmu tetapi biarkan tahu sumber agar senang dirujuk. 🙂 Syukran!

Cuti

Apa yang patut kita lakukan ketika cuti sekolah yang panjang?

Melancong? Membaca? Lepak di rumah? Lepak di supermarket? atau apa yang sedang anda lakukan?

Hasan Basri dinukilkan pernah mengatakan bahawa masa itu sentiasa menyaksikan apa yang sedang kita lakukan. Dan masa akan pergi meninggalkan kita terus dan tidak akan kembali lagi.

Eloklah kita tambahkan pembacaan khususnya ilmu-ilmu agama. Orang yang nak menunaikan haji tahun ini perlu lebih banyak membaca, menimba ilmu haji dan bertanya tentang persoalan haji dan umrah. Bab larangan ihram sahaja banyak dan membuatkan ada sebahagian orang tidak suka mengetahui sedangkan dia akan menunaikan haji.

سعي من الصفا إلى مروة

Bagaimana pula guru-guru menghabiskan cuti? Mungkin ada yang sedang menambah bilangan anak murid tuisyen, ada yang menaburkan jasa kepada tanah dengan membajak, menanam dan sebagainya, ada pula yang belajar memasak demi untuk rumahtangga, ada yang sibuk membuat kuliah dan pelbagai kerja yang dilakukan oleh guru di dalam masa cuti.

Buatlah perkara yang berfaedah, jangan lakukan perkara yang diharamkan! Mudah-mudahan Allah membantu kita sepanjang masa dalam usia yang amat singkat ini.

Amin…