Teka-teki…

Di dalam kelas, kadangkala teka teki menceriakan kelas. Tidak disangka-sangka budak yang orang anggap ‘lembab’ sebenarnya mempunyai minda yang cerdas belaka. Dari kelas 2 Ikhlas saya mula iklankan :

“Mari jual teka teki pada ustaz, semua ustaz boleh jawab” ujarku tanda menarik minat murid yang kebosanan menulis dan menjawab soalan bahasa arab di buku kerja.

Hampir semua murid merebut tempat dekat denganku untuk ‘menjual’ teka teki mereka. Mereka yang menjual teka teki ini adalah segolongan murid yang pintar kerana suka berfikir dan minda yang kreatif.

“Sebelum tu, ustaz akan jual teka teki terlebih dahulu” perangkapku.

Semua murid terdiam.

“Soalan paling senang, singa apa yang paling besar!” soalku

“SINGAPURA” jawab Hana.

“Betul, pandai!” puji kepada Hana, salah seorang murid yang sentiasa pertama menyiapkan kerja Bahasa Arab.

“Ok, sila jual kepada ustaz pula” tarik minat murid.

“Teka teki teka tekuk (stail teka teki budak2), kita dapat dengar tapi kita tak dapat sentuh” soal Farish.

(Gulp… alamak, tak pernah dengar pula..)

“Jantung!” jawabku

“Salah!” yakin si Farish (seorang budak yang suka aku datang, baru terbuka buku arabnya) menyalahkan aku.

Akun (mengaku kalah) la ustaz…” pujuknya

“Mana boleh, ustaz mesti fikir..” bodekku.

“Ya kan, Allah tidak suka orang yang putus asa” jawabnya

Tergamam aku si Farish boleh berkata sedemikian rupa. Rupa-rupanya, dia ada minda yang bagus-bagus, dan aku baru tahu muridku bagus dari segi mindanya, walaupun sedikit masalah dalam pembelajaran.

“Oklah..” biarkan tidak terjawab ataupun memang aku bukan tahu!

“Jawapannya SUARA, kita dengar suara kita, tapi tidak dapat dipegang jua, ustaz” jawabnya disambut hilai ketawa di kelas 2 Ikhlas. Sememangnya kelas aku adalah antara paling bising kalau P&P sedang berlangsung.

“Ok, ustaz soal satu soalan sebelum ustaz keluar kelas..” balas semula.

Semua diam.

“Binatang apa yang matanya di kepala, tangannya di kepala, kakinya di kepala, pusatnya di kepala, dan semua la dikepalanya..” soalku.

Ternganga budak 2 Ikhlas.

Qiyaamannn!! (Berdiri) tanda aku keluar kelas.

Aku meninggalkan murid 2 Ikhlas dengan mulut yang ternganga.

Keesokan harinya (Sabtu 21 Ogos 2010), Hana datang dengan gagahnya. Aku tahu jawapannya “KUTU!”

“Ya, kau memang pandai!” pujian lagi untuk galakan kepada murid.

My Hero!

Sebenarnya aku mau mencari kelainan dalam pengajaran agar aku sendiri tidak bosan mengajar. Minggu ini aku buat stail teka teki di akhir kelas 3 Ikhlas, 3 Cekap, 1 Ikhlas dan 2 Ikhlas. Dan banyak juga membaca buku bagaimanakah nak menarik murid untuk minat belajar subjek yang kita ajar, apatah lagi subjek aku ini adalah ELEKTIF. Ertinya, tidak semua orang ambil peduli pelajaran yang aku ajar, tetapi sampai MATI PUN AKU MINAT BAHASA ARAB. Dan aku sering ingat kata orang cerdik pandai motivasi, sebelum masuk kelas YAKIN KAMU ADALAH GURU YANG PALING HEBAT disisi murid-murid..

Alhamdulillah..

Minggu depan apa pula versi ‘tarik minat murid’??

Teka-teki murid 3 Ikhlas, Mohd Iqwan:

Benda apa yang turunnya lambat, naiknya cepat!

Jawapan : (cari sendiri la)

Dosaku…

Katakanlah : Astaghfirullahal 'azim

“Kenapalah Allah uji aku sebegini?” ujar Ahmad

“Sebab ko banyak dosa la” Abu menjawab

“Buktinya?” Ahmad perlekeh Abu.

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah As-Syura: ayat 30)

“Aku rasa aku buat baik je” sambungnya

“Itu lagi berdosa, perasan diri baik, hehe” jawab Abu

“Ermm..” tak terjawab si Ahmad

Itulah antara realiti kehidupan manusia di dunia. Penuh ujian. Penuh dengan musibah dan bala bencana. Semuanya diberikan bersama hikmah-hikmahnya. Antaranya :

1. Pencuci dosa. (Kaffarah)

“Aku ni asyik sakit jer, kenapa Allah tak sembuhkan lagi” Ahmad masih protes.

“Bagus lah kau sakit, sebab dosa-dosa yang kita lakukan tu sedang ‘dicuci’ oleh Allah” senyum Abu pada si Ahmad.

2. Ujian/Musibah/Bala bencana sudah sinonim bagi orang-orang beriman. Itu sebagai proses peningkatan iman. Kena ambil peperiksaan diri dulu untuk membuktikan kita lulus ujian iman atau gagal.

“Wah, ‘fail’ lagi, kena mengulang lagi nih” Ahmad tidak henti-henti protes.

“Ujian yang ALlah beri pun kena ‘repeat’ juga supaya dapat memperbaharui iman kita. Malah, siapa lulus makin tinggi kedudukan disisi ALlah” Abu tak henti-henti menjadi pembimbing Ahmad.

3. Ujian tanda Allah sayang kepada kita.

“Abu, kaulah pembimbing aku. Aku nak tanya apa lagi hikmah nya aku ni diberikan sakit yang memanjang?” Ahmad mengalah

“Allah sayang pada kau Ahmad” Abu setia.

“Tak faham lah” Ahmad menguji Abu

“Kalau kita sayang pada anak kita, kita selalu perhatikan dia. Tetapi kalau ko memang bencikan anak tu, tak tengok dah, malah benci nak tengok dia. Allah lebih daripada itu lagi. Dia uji hambanya yang dikasihi untuk berikan perhatian dan meningkatkan darjat. Manakala, orang-orang kafir dibiarkan dulu hidup berseronok dengan kemewahan dan nikmat dunia tetapi akan di azab di akhirat kelak dengan azab yang pedih” senyuman Abu penuh makna.

“Beruntung aku diuji kan sebenarnya. Dan beruntung aku ada sahabat sepertimu Abu” Ahmad akhirnya akur terhadap penjelasan Abu.