Ingat sebelum 7

antara usaha untuk selamatkan diri dari fitnah dajjal dengan membaca surah alkahfi

Kitab : Riyadussolihin

Tajuk : Berlumba-lumba melakukan kebaikan

Lokasi : Masjid AnNur, WP Labuan

Imam Nawawi menukilkan sebuah hadith Rasulullah yang mana ada kaitannya dengan bab berlumba-lumba dalam mengerjakan kebajikan dan kebaikan. Sebuah hadith riwayat atTirmizi yang menceritakan bahawa Baginda mengingatkan kita agar melakukan kebaikan sebelum 7 perkara ini datang. 7 perkara tersebut jika ia datang, ia sedikit sebanyak menghalang niat kita untuk melakukan kebaikan dengan sempurna. Baginda sebut agar kita segera melakukan kebaikan sebelum :

1- Kemiskinan yang merosakkan.

Mengapa Baginda sebut merosakkan? Ini kerana ada orang yang miskin tetapi masih ingatkan Allah. Kita takut, apabila kita jatuh miskin, kita sudah mula melupakan segala nikmat yang telah Allah kirimkan sebelumnya. Akhirnya, kita caci, kita maki, kita kutuk semua pemberian Allah dan kita tidak tahan tersebut ujian tersebut. Ini kan merosakkan! Oleh itu segeralah buat kebaikan sebelum kita jadi miskin yang tidak ingat dan tidak sabar atas ujian Allah ini.

2. Kaya tapi sombong

Nabi sebut kaya yang sombong. Ini juga bermaksud ada orang yang kaya tetapi pemurah seperti Abdurrahman bin Auf. Apabila kita mula menjadi kaya tetapi kita sombong kepada makhluk apatah lagi sombong kepada Allah, kita pasti tidak akan berupaya lagi melakukan kebaikan. Ini kerana sifat sombong yang ada dalam kategori mazmumah itu mencacatkan usaha kita berbuat kebaikan. Apatah lagi, orang yang sombong dengan hartanya itu tidak lagi ingin bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah itu secara percuma dan sementara.

3. Sakit yang merosakkan.

Sakit juga ada dua jenis. Ada yang sakit tetapi masih ada harapan sembuh seperti demam, kudis dan sebagainya. Yang disebutkan merosakkan disini ialah sakit yang hampir tiada harapan sembuh seperti kanser pada tahap yang sangat kronik, orang yang sedang dalam keadaan koma dan sebagainya. Jika kita berada di dalam situasi ini, kita tidak lagi dapat melakukan sedekah, solat, membantu saudara kita dan sebagainya yang dianggap amal-amal soleh.

4. Tua yang nyanyuk.

Ertinya ada tua yang masih bagus memorinya. Dan ada pula yang nanyuk. Nak mengelakkan nanyuk ini dalam bab yang lain. Cuma baginda sebutkan disini apabila kita ditakdirkan tua yang nanyuk, kita tidak lagi dapat berpeluang melakukan kebaikan. Ini kerana kita pun tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk pada ketika itu.

5. Mati mengejut.

Kita selalu berdoa agar kita mati dalam keadaan yang baik (husnul khotimah). Saya pun tidak tahu dimanakah dan bagaimana cara mati yang akan ditakdirkan oleh Allah. Ini kerana pada masa ini, peluang berbuat kebaikan sudah tiada ada. 0% untuk melakukan kebaikan. Yang ada, hanya ada zuriat yang soleh, sedekah jariah yang pernah kita salurkan dan sebagainya dari khidmat kita sewaktu hidup. Tetapi jika zuriat pun sibuk melakukan dosa, kita juga akan terkena tempiasnya!

6. Zahirnya Dajjal.

Ini antara fitnah terbesar. Doa-doa yang nabi ajarkan juga adalah merujuk agar kita dielakkan daripada terkena fitnah Dajjal. Ini kerana bila-bila masa syahadah kita akan tertanggal jika iman kita lemah dan tidak kukuh berada di dalam dada. Kita tidak sempat melakukan kebaikan lagi secara sempurna kerana fitnah tersebut mula meresapi pelusuk alam pada ketika itu dan keadaan menjadi huru-hara.

7. Kedatangan Hari Kiamat.

Inilah fitnah paling dahsyat. Nabi pernah sebut bahawa manusia yang hidup pada ketika hari-hari terakhir bumi akan dihancurkan, manusia dalam keadaan paling jahat! Tidak ada harapan melakukan kebaikan pada waktu ini.

Semua yang baginda sebutkan 7 perkara ini adalah sebagai ujian daripada Allah. Oleh itu, marilah kita sama-sama bersegera melakukan kebaikan samada sedekah, solat, memberi makan anak yatim, menolong orang yang sudah tua, membanting tulang membantu ibu bapa dan sebagainya sebelum datang 7 perkara yang disebutkan diatas.

PS : Sengaja saya letak nama kuliah, kitab dan lokasi agar orang yang salinkan artikel ini tidak sewenang-wenang ciplak hak milik orang. Tidak mengapa untuk dijadikan sebaran ilmu tetapi biarkan tahu sumber agar senang dirujuk. 🙂 Syukran!

Advertisements

Jenis-jenis Sedekah…

"orang yang paling baik di kalangan kamu orang yang banyak melakukan kebaikan pada keluarganya, dan aku paling baik pada keluargaku" HADITH

Sedekah yang kita tahu ialah mendermakan harta kita. Atau lebih khusus kita nampak perkataan sedekah hanya berkait rapat dengan wang ringgit, sedekah tabung masjid, sedekah pada anak yatim dan sebagainya.

Tetapi Baginda sangat banyak menyebut tentang jenis-jenis sedekah. Antaranya di dalam hadith ke 26 dalam kitab hadith 40 disebutkan oleh Baginda sebahagian dari jenis-jenis sedekah. Antaranya :

1. Mendamaikan saudara yang berselisih faham

2. Menolong saudara meringankan beban orang bermusafir

3. Menolong saudara mengangkat beg atau bebanan yang berat

4. Kata-kata yang baik

5. Langkah ke Masjid

6. Alih duri dari jalan (elakkan mudharat)

Banyaknya! Itu baru dari satu sumber hadith. Sebenarnya banyak lagi. Kita pun pernah dengar “senyumanmu pada saudaramu satu sedekah” juga termasuk dalam ciri sedekah.

Pendek kata, kita sedang bersedekah dan mendapat pahala dari Allah. Betapa pemurahnya Allah, walaupun kita tak tahu jenis sedekah (sebab tak belajar), Allah pasti memberikan balasan yang setimpal. Lebih-lebih lagi orang yang tahu apa yang dilakukan adalah dari bab sedekah, mestilah dia lakukan dengan bersungguh-sungguh.

Teringat pada kisah pada zaman sahabat nabi, orang-orang miskin mempersoalkan kepada Rasulullah tentang kelebihan orang yang berharta. Ini kerana orang berharta mereka beriman kepada Allah, dalam pada masa yang sama mereka dapat dermakan harta yang mereka miliki. Berbeza dari orang-orang miskin, beriman jua kepada Allah tetapi tidak mempunyai apa-apa untuk didermakan. Lalu Baginda mengajar lafaz tasbih (SUBHANALLAH) adalah sedekah, tahmid (ALHAMDULILLAH) itu sedekah, takbir (ALLAHUAKBAR) itu sedekah, tahlil (LAILAHAILLAH) itu sedekah. Jadi, itu sudah memadai dan dapat dilakukan oleh orang-orang yang tidak berharta.

Begitulah jua besarnya cabang bersedekah.

Cuma, disebut oleh Mahyuddin Misto dan Mustafa Bugho di dalam kitab AlWafi bahawa lebih afdal orang yang mempunyai harta lalu mendermakan harta tersebut berbanding orang yang bersedekah dengan cara yang selain mendermakan harta bendanya. Ini adalah soal kelebihan kepada orang-orang yang dikurniakan dengan kemewahan dan harta yang banyak tetapi tidak pernah lupa kepada segala nikmat yang Allah kurniakan.

ALLAHUAKBAR!

Sumber : Kuliah AlWafi, IOFC, WP Labuan

Erat Silaturrahim

“Eh Ahmad, awak kenal lagi saya?”

“Ooo, Nizam, wah, sudah 20 tahun kita tak bersua”

Mereka berpelukan di antara satu sama lain. Betul-betul hangat pertalian silaturrahim yang dijalinkan semula sesudah sekian lama terputus.

“Ahmad, tak kenal makcik ker? Makcik yang menyusukan kamu dahulu” kata seorang makcik yang sedikit lusuh pakaianya.

“Emm, tak kenal la, setahu saya la takde pula mak cerita saya mempunyai  ibu susuan!” bentak Ahmad kasar. Sebenarnya Ahmad malu mengaku itu adalah makciknya.

“Ooo, takpalah, cuma makcik teringat satu hadith yang berbunyi : (Hadith 153 di dalam kitab Riyadussolihin, Bab berbakti kepada kedua ibu bapa) :

Silaturrahim

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin Al’As dari Nabi Sallahu’alaihiwasallam sabdanya : “Bukanlah dikatakan seseorang itu penghubung silaturrahim hanya kerana dia mengeratkan silaturrahim yang sudah sedia terjalin, tetapi yang dikatakan seorang itu penghubung silaturrahim yang sebenar ialah ia menjalinkan semula silaturrahim yang sudah sekian lama terputus” [Riwayat Imam Bukhari]

Pengajaran :

1. Islam menyeru umatnya menyambung kembali hubungan kekeluargaan yang telah terputus

2. Penghubung yang sebenarnya ialah orang yang berjaya mengeratkan kembali silaturrahim yang telah terputus

3. Islam tidak suka pergaduhan dan perpecahan dikalangan umatnya lebih-lebih lagi dikalangan kaum kerabat.

Kuliah : Masjid Layang-Layangan, WP Labuan