Aura seri muka…

Cinta Rasul dan praktik sunnah-sunnahnya

Bagaimana nak serikan wajah? Guna sabun? Guna pencuci muka? Guna segala alat untuk menghaluskan muka? Itu semuanya mudah dicari, walaupun harganya ada yang murah dan ada yang mahal.

Seseorang yang selalu mendengar hadith nabi pun mendapat seri. Bukan seri muka hasil adaptasi tangan kita tetapi seri dari Allah. Bukan itukah yang kita mahu? Mana lebih utama? Mendapat seri dari Allah atau berpada dengan seri wajah kita dengan bedak dan alat solek? Tentulah semua mahukan seri dari Allah.

SERI DENGAN MENDENGAR HADITH NABI

Satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam AtTirmizi. Nabi pernah bersabda bahawa Allah telah memberikan seri kepada sesiapa yang mendengarkan hadith daripada kami, kemudian dia hafal, disampaikan pula kepada orang lain. Kemungkinan orang yang disampaikan hadith itu lebih memahami daripada si penyampai, dan kadang-kadang orang yang menyampaikan itu tidaklah faham.

Apa maksud hadith di  atas?

Mari kita buat isi-isi penting supaya kita pun lebih faham :

1. Allah akan menyerikan seseorang yang selalu mendengar hadith nabi, dihafal dan disampaikan kepada orang lain. Adakah wajah atau badan atau lain-lain? Imam atTirmizi menyebut bahawa yang dimaksudkan ialah Allah akan memperelokkan akhlak kita [Kitab Tuhfatul Ahwazi].

2. Nabi suruh kita sampaikan hadith tersebut kepada orang lain pula. Kita pun tidak lupa bahawa nabi bersifat TABLIGH (menyampaikan). Susah ka? Menulis blog yang mengajak kita berdakwah dan menukil sepotong dua hadith nabi sudah pun membawa maksud tersebut.

Facebook? Ya, itu lagi senang. Daripada kita seronok sendiri cerita apa yang sedang kita lakukan, elok kita bawakan hadith2 nabi buat ingatan diri sendiri dan teman-teman. Hentikan la menulis perkataan-perkataan buruk yang menunjukkan kita dalam tekanan dan sebagainya dan gantikan dengan doa-doa. Takut-takut kita seolah-olah tidak pernah redha dengan takdir yang Allah tentukan.

Musibah itu tidak elok diceritakan. Ianya elok apabila kita mengerti setiap musibah ada hikmahnya. Jika kita melakukan dosa, tidak perlu diceritakan tetapi sama-sama kita bersungguh-sungguh memohon ampun kepada ALlah.

3. Istimewanya penyampai ilmu, ianya dapat lebih faham apa yang ia dengar dan hafal daripada seseorang yang lebih faham (berilmu).  Contoh mudah :

Si Ahmad mendengar kuliah, ustaz kata orang mukmin yang kuat lebih disayangi Allah. Dia pun sampaikan kepada Si Budin, bahawa orang mukmin yang main bola selalu, kuat dan disayangi Allah. Budin betulkan bahawa yang dimaksudkan di dalam hadith itu, KUAT BERIBADAH bukan kuat jasmani semata-mata.

Siapa yang dapat faedah? Dua-dua. Ahmad makin faham dan betulkan kefahaman. Budin akan terus dapat mengingat teks hadith dengan kuat disebabkan ulangan yang disampaikan oleh si Ahmad.

Si Ahmad yang disebut diatas adalah contoh kadangkala si penyampai tidaklah faham sangat apa yang didengar dan dihafal. Tetapi faedah dan hikmahnya orang yang rajin menyampaikan akan dapat dibetulkan kefahamannya dari semasa ke semasa.

Blog ini juga sentiasa berlapang dada menerima setiap kesalahan.

Jangan lokek berkongsi perkara yang baik apatah lagi apabila kita telah faham dengan baik maksud ayat alQuran dan alHadith.

Selamat beramal!

Abdullah…

“Dapat anak laki karang, letaklah nama Abdullah, sebaik-baik nama tu” tegas ayah yang sudah dimamah usia. Teringin benar cucu lelaki.

“Ala, saya nak anak perempuan la ayah, boleh letak nama Camelia, saya Kamal isteri saya Lia, kan cantik tu ayah” jawab Kamal berhujah.

“Anak lelaki lah pulak. Dapat dia tengok-tengokkan kami yang dah expired nih. Kalau anak perempuan, tengok pada suaminya, kalau soleh baliklah tu, kalau toleh*, tak toleh dah mak ayah ko nih. Nama Abdullah tu bagus, maknanya hamba Allah. Camelia tu hape? Yang ayah tau camel tu unta, jadi unta bini ko ler?” ayah semakin menapis hujah Kamal.

“Ala, Camelia tu kan nama-nama yang moden sket, Lia kata baru ada class..” Kamal seakan bergurau..

“Ikut ko ler, yang aku tahu bini ko pun tak der la kelas tinggi mana” ayah menghilangkan diri meninggalkan Kamal kelu tanpa kata-kata.

…..”Kenapa ayah tu mak?” Kamal memujuk diri.

“Ayah tu biasanya tu jarang berleter. Tapi kalau panjang leternya, ada la buku yang ayah kau sedang belek tu” tegas emak yang 6 tahun mudah dari umur ayah.

Kamal membelek catatan ayah di atas meja. 13  tahun lalu sudah ayah dan mak meninggalkan Kamal, tetapi catatan tersebut masih lagi segar dan disimpan elok oleh Kamal.

 

غزوة الخندق

 

Catatan tersebut tertulis :

“Aku baru sahaja membaca riwayat Abdullah ibn Umar, seorang sahabat nabi yang pada mula ingin menyertai Peperangan Badar, tetapi ditolak oleh Rasulullah dek kerana umurnya yang muda. Tetapi pada usia 15 tahun, dia berjaya juga menjadi pahlawan di dalam Peperangan Khandaq. Abdullah ini sangat suka meniru nabi, sehingga beliau pernah pusing 2 kali keliling dan sembahyang selepasnya hanya kerana pernah melihat nabi melakukan demikian. Patutlah isteri nabi, Aisyah memuji Abdullah mengatakan dia yang paling sinonim dengan segala gerak geri nabi..

Kalaulah aku ada cucu lelaki, alangkah indahnya Abdullah namanya, tentu sekali mengingatkan aku akan Abdullah ibnu Umar yang telah ku baca riwayat hidupnya, sahabat kedua yang paling banyak meriwayatkan hadith, lebih kurang 2630 hadith, tetapi biarlah anakku si Kamal yang memilih nama anaknya sendiri, aku hanya suka membaca sesuatu yang baik dan cuba melakukan sedaya upayaku, kalaulah aku membaca riwayatnya sewaktu aku baru berkahwin dahulu, tentulah ku namakan anakku Abdullah…1.32 pagi, aku yang akan reput di makan tanah!”

Kamal masih mengamati catatan itu. Anaknya, Abdullah disisi terlena dipangkuannya.

*toleh = jahat

Panasnya…

“Panasnya…” ujar Abu

“Biasalah tuh, cobaan..” Syarif mengingatkan skrip P Ramlee

“Panas tahap gaban dah ni” Abu mentaukidkan darjah kepanasannya.

“Panas di dunia terlalu jauh beza panas di hari akhirat” tazkirah Syarif

“Emm.. beruntung lah ahli-ahli Syurga, macammana cerita kepanasan bagi ahli neraka” soal Abu

“Dalam Surah Al-A’raf ayat 50 ada ceritanya. Allah sebut :

“Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.

“Wah, di dunia panas baru bahangnya, belum lagi panas di dalam api” Abu mengambarkan kedahsyatan bergelumang sebati dengan api.

“Sufyan Thauri kata berkenaan ayat 50 surah tersebut, bahawa seseorang lelaki akan memanggil ayahnya atau adik beradiknya yang berada di luar neraka menyebut : Kami telah dibakar, berilah kami air (agar dapat meredakan kepanasan seksa), tetapi adik beradik dan pertalian darah mereka menjawab : Allah tak beri kepada orang-orang yang dimurkainya” sambung Syarif tentang tafsiran ayat 50.

“Wah, seksanya… patutlah ada satu riwayat dari Abu Hatim menceritakan bahawa pernah satu hari Ibnu Abbas ditanya sedekah yang mana paling utama. Dijawab oleh Ibnu Abbas SEDEKAHKAN AIR. Lalu Ibnu Abbas sebut : bukankah Allah sudah firmanlah di dalam AlQuran tentang seksanya ahli neraka yang meminta-minta air (betapa manfaatnya air pada saat itu)” sambung Abu yang tidak kurang arifnya di dalam periwayatan dan penceritaan ilmu hadith.

water...

“Kau ni menguji aku, kau pun tahu rupanya..” jawab Syarif tersipu-sipu dengan balasan riwayat yang diceritakan Abu