Teka-teki…

Di dalam kelas, kadangkala teka teki menceriakan kelas. Tidak disangka-sangka budak yang orang anggap ‘lembab’ sebenarnya mempunyai minda yang cerdas belaka. Dari kelas 2 Ikhlas saya mula iklankan :

“Mari jual teka teki pada ustaz, semua ustaz boleh jawab” ujarku tanda menarik minat murid yang kebosanan menulis dan menjawab soalan bahasa arab di buku kerja.

Hampir semua murid merebut tempat dekat denganku untuk ‘menjual’ teka teki mereka. Mereka yang menjual teka teki ini adalah segolongan murid yang pintar kerana suka berfikir dan minda yang kreatif.

“Sebelum tu, ustaz akan jual teka teki terlebih dahulu” perangkapku.

Semua murid terdiam.

“Soalan paling senang, singa apa yang paling besar!” soalku

“SINGAPURA” jawab Hana.

“Betul, pandai!” puji kepada Hana, salah seorang murid yang sentiasa pertama menyiapkan kerja Bahasa Arab.

“Ok, sila jual kepada ustaz pula” tarik minat murid.

“Teka teki teka tekuk (stail teka teki budak2), kita dapat dengar tapi kita tak dapat sentuh” soal Farish.

(Gulp… alamak, tak pernah dengar pula..)

“Jantung!” jawabku

“Salah!” yakin si Farish (seorang budak yang suka aku datang, baru terbuka buku arabnya) menyalahkan aku.

Akun (mengaku kalah) la ustaz…” pujuknya

“Mana boleh, ustaz mesti fikir..” bodekku.

“Ya kan, Allah tidak suka orang yang putus asa” jawabnya

Tergamam aku si Farish boleh berkata sedemikian rupa. Rupa-rupanya, dia ada minda yang bagus-bagus, dan aku baru tahu muridku bagus dari segi mindanya, walaupun sedikit masalah dalam pembelajaran.

“Oklah..” biarkan tidak terjawab ataupun memang aku bukan tahu!

“Jawapannya SUARA, kita dengar suara kita, tapi tidak dapat dipegang jua, ustaz” jawabnya disambut hilai ketawa di kelas 2 Ikhlas. Sememangnya kelas aku adalah antara paling bising kalau P&P sedang berlangsung.

“Ok, ustaz soal satu soalan sebelum ustaz keluar kelas..” balas semula.

Semua diam.

“Binatang apa yang matanya di kepala, tangannya di kepala, kakinya di kepala, pusatnya di kepala, dan semua la dikepalanya..” soalku.

Ternganga budak 2 Ikhlas.

Qiyaamannn!! (Berdiri) tanda aku keluar kelas.

Aku meninggalkan murid 2 Ikhlas dengan mulut yang ternganga.

Keesokan harinya (Sabtu 21 Ogos 2010), Hana datang dengan gagahnya. Aku tahu jawapannya “KUTU!”

“Ya, kau memang pandai!” pujian lagi untuk galakan kepada murid.

My Hero!

Sebenarnya aku mau mencari kelainan dalam pengajaran agar aku sendiri tidak bosan mengajar. Minggu ini aku buat stail teka teki di akhir kelas 3 Ikhlas, 3 Cekap, 1 Ikhlas dan 2 Ikhlas. Dan banyak juga membaca buku bagaimanakah nak menarik murid untuk minat belajar subjek yang kita ajar, apatah lagi subjek aku ini adalah ELEKTIF. Ertinya, tidak semua orang ambil peduli pelajaran yang aku ajar, tetapi sampai MATI PUN AKU MINAT BAHASA ARAB. Dan aku sering ingat kata orang cerdik pandai motivasi, sebelum masuk kelas YAKIN KAMU ADALAH GURU YANG PALING HEBAT disisi murid-murid..

Alhamdulillah..

Minggu depan apa pula versi ‘tarik minat murid’??

Teka-teki murid 3 Ikhlas, Mohd Iqwan:

Benda apa yang turunnya lambat, naiknya cepat!

Jawapan : (cari sendiri la)

Ganjaran dan Hadiah..

Hari ini tiba hari ganjaran sesiapa yang berjaya mendapat 100 di dalam mata pelajaran Bahasa Arab.

HB : Ustaz tak guna duit Panitia untuk beli hadiah murid-murid yang cemerlang?

HLB : Saya lakukan ini dapat juga untuk menambah amalan jariah kepada anak-anak murid

HB : Rugi la ustaz kalau kita tak gunakan duit yang di sediakan

HLB : Tak rugi jika berniat membelanjakan harta di jalan Allah

HB : Jadi, ustaz sediakan hadiah la ya setiap bulan bagi pelajar yang mendapat markah yang tinggi?

HLB : Ya..

HB : Wah, habis duit ustaz la..

HLB : Berapa peratus yang saya habiskan dari gaji yang di terima setiap bulan? Terlalu kecil peratusnya..

HB : Ya.. ( diam )

Kalau anda tak rela korbankan sedikit harta untuk anak-anak maju di dalam pelajaran, apa yang mampu lakukan untuk anak murid menggunakan gaji yang anda terima?

Ganjaran murah yang dapat menaikkan semangat anak kecil di sekolah :

a) Coklat Apollo – RM 1.50

b) Biskut coklat – RM 2.50

c) Pemadam (6 keping) – RM 1.00

d) Lain-lain sekitar harga RM 3.00 ke bawah

Hanya dengan berbekalkan hadiah sebentuk coklat Apollo sudah mampu menaikkan semangat budak kecil untuk terus belajar. Adakah harga sekecil itu pun anda sudah memikirkan kekurangan pada wang poket yang anda terima setiap bulan?

Kalau anda ‘berkira-kira’ sangat perbelanjaan di atas, anda belum mencapai kepuasan menjadi seorang guru yang sejati.

Dah dapat hadiah, kata apa anak murid?

na’am, ahsantum..