Gelang lagi…

Gelang

Setiap murid menampilkan cara hidup yang berbeza. Pengaruh terbesar ialah dari ibubapanya sendiri. Saya pula lebih suka mencatat peribadi murid yang lemah untuk analisis dan kajian sendiri. Ada yang lemah bacaan Iqrak hanya kerana ibu bapa tidak membelikan anak tersebut buku tersebut. Alasan kedua ialah emak bapa sibuk. Kedua-dua alasan saya catatkan dan hampir semua murid yang mempunyai alasan ini dalam Iqra 1. Manakala, murid yang maju dengan bacaan Iqrak 2 ke atas masing-masing mempunyai guru yang tersendiri.

Suka juga melihat peribadi murid-murid dari kehidupan mereka masing-masing. Satu masa dahulu, sudah ditegur pensel pendek tiada kaitan dengan nyawa ibu kita pendek. Tetapi, lain murid lain lagi caranya mempercayai perkara yang dianggap benar pada benaknya. Sebagai guru, kita perlu cepat menangani agar tidak sebati dalam fikirannya.

2 Ikhlas. Ya, seorang murid, Hafiz namanya. Saya sangat suka melihat wajahnya kerana dia sentiasa senyum dan bicaranya petah. Hilang tekanan apabila kita tersenyum. Itu psikologinya. Kemudian, terlihat gelang di pergelangan tangannya. Satu debat ringkas akan bermula. Seronok bercerita dengan budak;

“Hafiz, nda malu la lelaki pakai gelang” ujarku

“Emakku yang suruh, ustaz” jawabnya laju.

“Untuk apa tu?” soalan bertalu lagi.

“Usir setan!” sambil tersenyum.

“Kalau kamu baca 3 qul selalu, setan akan lari tercirit-cirit. Kamu pakai gelang ni bikin setan ketawa ja” jawab ku ringkas.

“Hahaha, tercirit-cirit. Betul ka? 3 Qul tu hapa? balas Hafiz

Qul huwallah, Qul a’uzubirrabbil falaq, Qul a’uzubirabbinnas!” jawabku

“Hooho, saya tahu tu” jawabnya.

“Baguslah, nda perlu la gelang tu ha, beritahu mak kamu” dakwah perlu disampaikan walaupun pedas dan pahit.

“Saya buka la ni ya ustaz” Hafiz terus praktik dan tanggalkan gelangnya.

Pada anggapan kita, adakah isu ini kecil? Ada sebahagiannya menganggap remeh dan kecil. Sebahagian pula anggap ini isu tauhid murid. Sebahagian pula anggap ini privasi ibu bapa masing-masing. Bagi saya ini berkait dalam bab akidah. Pada usia awal sebeginilah, murid sangat mudah menerima ilmu dan penjelasan berbanding usia sudah lanjut. Benarlah pepatah arab :

Belajar ilmu di waktu muda seperti mengukir di atas batu

“BELAJAR ILMU DI WAKTU MUDA SEPERTI MENGUKIR DI ATAS BATU, BELAJAR ILMU DI WAKTU TUA SEPERTI MENGUKIR DI ATAS AIR”

Siapa yang rasa hebat mengukir di atas air, silakan!

Wujud..

BERIMAN KEPADA KEWUJUDAN ALLAH TA’ALA

Kelas : 1 Ikhlas

Mengajar murid Tahun Satu memang mencabar. Apatah lagi apabila memberi didikan ilmu agama berkaitan akidah Islam. Iaitu tajuk kewujudan Allah. Untuk beriman, kita perlu ajar dahulu persepsi kanak-kanak tentang Allah.

Aku mulakan dengan melukis orang lidi sedang menyembah api. Iaitu orang majusi (siri yang lepas iaitu tanda kenabian Nabi Muhammad).

”Minggu lepas, ustaz telah ceritakan kepada kamu perihal orang ini. Mereka ini menyembah aaaa…?? soalku ”Piiiii..” murid menyambung. ”Pandai” pujiku.

”Kita sembah siapa?” soalku menguji murid.

”Allah” murid menjawab serentak.

More