Ebook

Canggihnya!

Aku merupakan antara jutaan peminat ebook. Cuma kadangkala lebih suka memiliki atau memegang sebuah buku dari memerhatikan di hadapan skrin.

Ada orang yang rajin membaca ebook. Ada juga yang tak berminat untuk membaca di hadapan komputer. Mungkin faktor keletihan dan kepenatan mata anda. Ramai yang menerbitkan ebook. Kebanyakan ebook adalah mengenai perkara-perkara yang merupakan rahsia kejayaan seperti rahsia menjadi kaya, membeli hartanah secara bijak, cara-cara aplikasi sesuatu perkara dan sebagainya.

Yang menariknya, ada yang membuat secara percuma. Wah! Inilah antara ebook yang betul-betul memberi manfaat sekaligus beramal untuk membantu. Ini ada unsur ta’awun (tolong menolong) di dalam Islam. Apatah lagi ia memang berniat ikhlas menyebarkan ilmu yang baik. Bukannya salah menjual ebook sendiri, itu hak masing-masing.

Terjumpa satu ebook yang bermanfaat iaitu panduan membuat ebook. Jika anda berminat, silalah download secara percuma. Terjumpa dalam forum wangcyber dari pemberian ikhlas nickname starstreet. Syukran!

Ebook dalam bidang agama di Malaysia masih berkurangan berbanding di negara arab. Ada sebahagian mereka yang merupakan anak murid tok guru yang mengajar kuliah di masjid sanggup bersengkang mata untuk menyiapkan ebook dan dihasilkan secara percuma. Anda boleh mendapatkan ribuan kitab secara percuma di laman seperti laman web saaid, waqfeya dan sebagainya.

Bagaimana dengan kita? Ada ebook untuk dikongsikan bersama? Mari belajar mencipta ebook!

Anakku hebat…

Masih terus mencari bahan bacaan yang boleh menjadi bekal kepada seorang bakal si ayah dan si ibu. Mari memborong buku-buku berkaitan. Kali ini, buku yang dicari-cari dijumpai jua, karangan Us. Zahazan.

anakku hebat

Mungkin karya ini lebih berharga kerana ia merupakan antara karya beliau untuk bakal ayah dan ibu yang terkini. Yakin Us. Zahazan mesti membawa idea baru dan menggabungkan idea lama agar buku ini menjadi yang terbaik. Masih lagi membaca di lembaran awal tetapi sudah terasa ‘kehebatan’nya. Kalau nak tahu, belilah!

Ya, takkan satu buku sahaja. Ada pasangannya. Karya Us. Abdul Rahman Mohamed. Buku yang dikarangnya dahulu “Pelik tapi benar” pun sudah ku miliki cuma tertinggal di Semenanjung dahulu. Kali ini, karyanya semakin menarik minatku untuk membeli. Apalagi, belilah!

mari membaca para bakal ayah!

 Kepada bakal ayah dan ibu, ayuh tambah ilmu di dada dan laksanakan amanah yang dikurniakan oleh Allah sebaik-baiknya! Jangan anggap mudah amanah yang Allah beri kepada kita.

Menulis lagi…

Adakah anda sudah puas membaca?

Rasanya anda semakin dahagakan lagi pembacaan jika anda memang seorang yang cintakan ilmu. Iman kita kadangkala naik, kadangkala menurun. Begitu juga lah sifat manusia seperti jemu dan bosan. Kadangkala minat lebih hinggakan tak cukup buku dibaca, kadangkala jua jemu dan bosan hingga satu buku pun tak dapat dibaca.

Itu perlu diatasi dengan motivasi yang tinggi.

Belilah buku yang bermanfaat

Melanggan buku dari penulis-penulis handalan juga memberikan semangat dan suntikan motivasi untuk terus membaca dan menulis. Baru melanggan buku “Bercinta sampai ke Syurga”. Pasti berbaloi! Apatah lagi penulisnya Ustaz Hasrizal memang tidak asing bagi penggemar buku.

Memang berusaha untuk menulis buku. Mungkin tajuk-tajuk tertumpu kepada keperluan dan kehendak masyarakat setempat mengenai asas-asas di dalam agama Islam. Karya yang pertama sudah pun dihantar ke Telaga Biru untuk disaring dan ditapis. InsyaAllah, usaha yang berterusan menjadikan ianya satu realiti.

karya Hajah Rohani

Satu lagi buku yang dibeli ialah“Ke mana wang anda?” iaitu karya Hajah Rohani. Ianya dibeli atas dasar ingin belajar ilmu kewangan dengan baik. Apatah lagi apabila anda sudah berumahtangga, anda perlu mengurus kewangan rumahtangga dengan baik.

Nanti kita tulis mengenai tajuk-tajuk yang diperlukan oleh masyarakat setempat.

Wallahua’lam

Membaca…

Masa cuti eloklah diisi dengan pembacaan buku motivasi.

Ini akan menjadikan diri kita lebih bertenaga dan bersemangat untuk terus menghadapi kehidupan yang lebih mencabar.

Membaca buku seperti karangan Dr. Tuah, Dr. Fadzilah Kamsah, Stephen Covey, Dale Carnegie dan sebagainya akan membuatkan anda menambah unsur positif di dalam diri disamping menambah maklumat dengan bacaan yang lain.

karya lain Ainon Mohd.

Membaca buku karangan Ainon Mohd, Psikologi Kejayaan terbitan 2003 memberikan nafas baru bagiku. Baru pertama kali membaca karyanya dan tertarik dalam bab 7 mengenai tangguhkan kepuasan dan kejayaan, iaitu membawakan satu kajian oleh Walter Mischel yang menguji kanak-kanak yang diberikan gula-gula dan diberikan masa untuk mereka menunggu seorang penyelia yang akan datang tetapi tidak diberitahu waktunya, sebagai ganjaran kanak-kanak yang bersabar, maka diberi lagi beberapa biji gula-gula. Sesiapa yang tidak tahan pula, boleh memakan gula-gula tersebut.

Akhirnya, ada yang dapat menunggu dan berjaya mendapat lagi beberapa biji gula-gula, dan ada yang terus memakan gula-gula tersebut kerana TIDAK MAMPU BERSABAR. Menariknya, setelah kanak-kanak itu besar, mereka masih diselia dan keputusannya :

KANAK YANG SANGGUP MENUNGGU – mempunyai kehebatan dalaman yang kuat berbanding dengan KANAK-KANAK YANG TIDAK SANGGUP BERSABAR tadi mempunyai tahap motivasi yang sangat rendah.

Sebenarnya, itu memberi pengajaran kepada kita, ada benda yang kita perlu tangguhkan sementera demi kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan. Begitu juga dengan duit gaji kita, baru terima gaji sudah lesap. Kemana hilangnya? Dimanakah kewibawaan kita sebagai pemimpin untuk menabung untuk digunakan untuk saat-saat kecemasan.

Kata orang kewangan, dapat gaji terus dahulukan bayar hutang, kemudian asingkan simpanan dalam bank kemudian barulah belanja!