Ibadat haji cacat tanpa ilmu

 Bersama Tabung Haji:

Jemaah mesti fahami silibus, rujukan muktabar elak rosakkan rukun

Oleh Zulkarnain Ali


MENJELANG bulan haji, individu yang bakal ke Tanah Suci hendaklah menyiapkan diri dengan segala keperluan dan bekalan yang diperlukan. Sesungguhnya ilmu adalah antara bekalan paling mahal di sisi manusia apabila ingin melakukan sebarang bentuk ibadat termasuk ibadat haji.

Semua silibus, latihan, kertas perbincangan muzakarah dan fatwa mengenai haji seelok-eloknya dibaca supaya difahami dengan baik demi mencapai haji yang diterima di sisi Allah.

Berbekalkan semua latihan, khususnya di Malaysia yang dilengkapi dengan kronologi dan perjalanan ilmu secara berkursus kepada jemaah, diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya ketika menunaikan ibadat itu di Tanah Suci nanti.

Walaupun pelbagai persediaan dilakukan, tidak dapat dinafikan masih ada segelintir jemaah yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan hingga mencacatkan ibadat mereka. Sedangkan, ibadat haji sukar untuk diulang kerana memerlukan perbelanjaan besar.

Tambahan ibadat haji adalah wajib sekali seumur hidup dan dalam keadaan negara kita, keutamaan mengerjakan haji diberi kepada jemaah yang baru pertama kali hendak pergi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

More