Bacalah!

“Saya lihat iddah ini menyusahkan wanita kerana dalam tempoh iddah, wanita tersebut tidak boleh keluar rumah. Bagaimana kedudukan wanita yang bekerja atau ada keperluan untuk keluar rumah?” -petikan dari buku Salah Faham Tentang ISLAM ms 78.

Jawapannya, belilah buku tersebut.

Buku yang sedang saya baca ialah :

1. Salah faham tentang Islam – Ustazah Nik Salida & Ustaz Nidzam

Sedang dibaca

2. Benarkah Alexander bukan Zulkarnain? – Afareez

Akan dibaca

Buku yang pertama dibeli oleh isteri saya. Cuma, saya pula yang minat membacanya. Kelebihan buku ini ialah;

-bab yang lengkap dengan salah faham dan jawapan. Ada mengenai AlQuran, Hadith, Wanita, Ibadat, Hiburan dan macam-macam lagi.

-soal jawab dari masyarakat umum untuk lebih mudah difahami

-jawapan yang santai, tidak terlalu berat

-sesuai untuk orang awam apatah lagi pendakwah

-sesuai dijadikan hadiah kepada orang yang baru mengenali Islam

Pembacaan setakat ini : 30%

Buku yang kedua dibeli oleh saya sendiri kerana ingin mendalami nama yang diberi oleh ayah. Lagipun, nama kita adalah yang paling bernilai. Nama Zulkarnain ini adalah pelik ketika saya berada di Maghribi kerana masyarakat arab tidak memberi nama demikian pada anak-anak mereka. Pelik tetapi nama ini tidak dilupa ketika berada dengan masyarakat arab. Syukran jazilan kepada ayah!

Buku kedua ini belum dibaca. InsyaAllah, masa yang paling sesuai untuk dibaca ialah ketika di dalam feri. Tetapi, ada lagi satu buku mengenai Zulkarnain dan Alexander;

Akan dibeli!

Ya, itulah kembarnya. InsyaAllah, buku ini akan menjadi milikku…

Keluar dari kejahilan…

Seseorang yang banyak membaca dapat membezakan dirinya dari orang lain. Sama juga lah seperti para ulama fekah, mereka sentiasa tersenyum dengan kehidupan harian mereka. Mereka rasa mudahnya agama Islam kerana dari sekecil-kecil bab bersuci sehinggalah bab mengurus negara secara teorinya mereka sudah kuasai. Tinggal lagi, mereka akan mula mengamalkan di dalam kehidupan harian mereka.

Setiap hari orang bertanya “apa hukum..” “sah atau tidak sah..” dan sebagainya dalam hukum fekah. Kenapakah kita sebut ulama fekah tersenyum. Disebabkan mereka sudah dapat keluar dari masalah tersebut dan menjadi rujukan pula kepada orang lain. Ilmu fekah itu memang penting. Ini juga hasil pembelajaran dan pembacaan yang tidak pernah putus-putus. Bayangkan bagaimana Imam Nawawi seorang ulama yang bujang telah mengarang dalam kitab Majmuk tebalnya beribu-ribu muka surat menguasai ilmu fekah dengan hebat. Sehingga rujukan tersebut dirujuk sehingga kini walaupun Imam Nawawi sudah pun meninggal dan meninggalkan kita.

Kita sebenarnya hanya perlu membaca dan mengamalkan apa-apa ilmu yang bermanfaat. Apatah lagi, benarlah kata Abbas Aqqad mengatakan membaca itu menjimatkan umur kita. Maksudnya? Seseorang yang kaya lebih kurang 30 tahun menghabiskan eksperimennya menjadi kaya mula menulis buku dan memberikan pengalamannya, tetapi kita yang berusia 20 tahun, hanya 2 hari menghabiskan buku tersebut dan mula mengamalkan ideanya pada hari ke 3. Bayangkan betapa jimatnya masa dan umur yang kita dapat hanya hasil dari kita membaca.

sedang dalam pembacaan

Bacalah…baru anda tahu siapa diri anda yang baru setelah anda membaca satu-satu karya yang bermanfaat.

Cuti

Apa yang patut kita lakukan ketika cuti sekolah yang panjang?

Melancong? Membaca? Lepak di rumah? Lepak di supermarket? atau apa yang sedang anda lakukan?

Hasan Basri dinukilkan pernah mengatakan bahawa masa itu sentiasa menyaksikan apa yang sedang kita lakukan. Dan masa akan pergi meninggalkan kita terus dan tidak akan kembali lagi.

Eloklah kita tambahkan pembacaan khususnya ilmu-ilmu agama. Orang yang nak menunaikan haji tahun ini perlu lebih banyak membaca, menimba ilmu haji dan bertanya tentang persoalan haji dan umrah. Bab larangan ihram sahaja banyak dan membuatkan ada sebahagian orang tidak suka mengetahui sedangkan dia akan menunaikan haji.

سعي من الصفا إلى مروة

Bagaimana pula guru-guru menghabiskan cuti? Mungkin ada yang sedang menambah bilangan anak murid tuisyen, ada yang menaburkan jasa kepada tanah dengan membajak, menanam dan sebagainya, ada pula yang belajar memasak demi untuk rumahtangga, ada yang sibuk membuat kuliah dan pelbagai kerja yang dilakukan oleh guru di dalam masa cuti.

Buatlah perkara yang berfaedah, jangan lakukan perkara yang diharamkan! Mudah-mudahan Allah membantu kita sepanjang masa dalam usia yang amat singkat ini.

Amin…

Jadual…

Jadual dalam bahasa arab disebut Isti’mal azZaman, ada juga disebut jadwalun. Itu sekadar ilmu bahasa arab. Sebenarnya yang hendak ditulis di sini ialah mengenai jadual membaca.

Mungkin ada dari kalangan pembaca sudah arif tentang jadual membaca. Ada juga yang memang suka membaca tanpa menulis jadual. Ya, tahniah kerana anda rajin membaca.

Ada juga yang menulis jadualnya seperti begini :

Isnin, pagi, petang dan malam. = pagi- tauhid, petang-usul fiqh dan malam-hadith.

Ada juga yang menulis :

Isnin hingga Rabu = ulum alquran

Khamis hingga Jumaat = ulum hadith

Sabtu hingga Ahad = Hafal AlQuran dan Hadith.

Sebenarnya, dua-duanya bagus dan mantap. Terpulanglah kepada pembaca agar mendisiplinkan diri untuk membaca. Walaubagaimanapun, pilihlah subjek yang berguna untuk kita manfaatkan seperti ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Atau umumnya ilmu agama.

Mungkin antara subjek yang boleh anda masukkan dalam pembacaan ialah seperti tauhid, tafsir, hadith, fekah, bahasa (linguistik) dan sebagainya.

Mudah-mudahan kita benar-benar menjadi ilmuan yang diberkati Allah dan dapat pula kita manfaatkan untuk disampaikan kepada ahli keluarga, jiran, rakan-rakan dan masyarakat agar sama-sama menjadi insan yang takutkan Allah.

إنما يخشى الله من عباده العلماء

Dari ayat di atas tersebut (Surah Faatir ayat 28) menunjukkan bahawa setiap orang yang takutkan Allah terdiri dari kalangan orang yang berilmu (‘alim) dan bukanlah orang yang berilmu yang sebenar, jika dia tidak takutkan Allah.

Ibn Kathir berkata “Orang yang sebenar-benarnya takut kepada Allah adalah dari kalangan ulama dan orang-orang yang arif, tatkala mereka mendapat ilmu yang banyak dan sempurna, ketaqwaan mereka kepada Allah semakin bertambah!”

Nampaknya, kalau kita makin membaca, semakin pula menentang Allah, maka kita sudah semakin ‘jauh’ dan tersilap langkah.

Ayuh membaca! Semoga Allah jadikan kita dari kalangan hamba-hambaNya yang bertaqwa!

Membaca…

Anda rajin membaca? Marilah kita membaca khususnya dalam ilmu hukum hakam puasa. Asyik-asyik tanya hukum korek hidung. Marilah borong kitab-kitab khusus bab puasa. InsyaALlah banyak kebaikan yang kita dapat.

karangan Dr Aid aAbdullah lQarni

Buku ini antara yang dibuat kuliah di dalam bulan Ramadhan AlMubarak. InsyaAllah, banyak lagi buku-buku yang perlu kita baca demi memperbaiki mutu puasa kita setiap hari. Mudah-mudahan kita dapat menjadi orang yang bertaqwa kepada ALlah Ta’ala.

Berjalan sambil membaca..

Banyak perkara yang di pelajari ketika membaca buku ketika berjalan. Buku yang mencuri hatiku ketika ini adalah buku silibus pelajaran Bahasa Arab Universiti Madinah. Gambarnya ada di bawah ini :

Di samping kita belajar ilmu Bahasa Arab, ada anjuran di mukaddimah kitab mengenai pentingnya menghafaz nas-nas sama ada Al-Quran atau Hadith untuk memperbaiki mutu Bahasa Arab.

Mari tingkatkan penguasaan Bahasa Arab anda!