Jemaah Haji Si Kecil..

KESELAMATAN JEMAAH KECIL PERLU DIUTAMAKAN

KEFARDUAN HAJI SELEPAS BALIGH TIDAK GUGUR JIKA KE MAKKAH BERSAMA IBU BAPA

Oleh Zulkarnain Ali

MEMBAWA kanak-kanak bersama menunaikan ibadat haji adalah amalan mulia. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan serukanlah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis unta yang kurus yang datangnya daripada pelbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh…” (Surah al-Hajj, ayat 27)

Bagaimanapun, ibu bapa perlu mengetahui keadaan dan suasana sebenar ketika pelaksanaan ibadat haji di Makkah kerana jutaan jemaah haji dari pelosok dunia bertumpu di sana bagi melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Oleh itu, keputusan bijak hendaklah dicapai oleh ibu bapa untuk membawa anak. Jika terpaksa membawa kanak-kanak mengerjakan ibadat haji, maka ia tidak dapat lari daripada beberapa tatacara serta pengawasan kanak-kanak iaitu aspek keselamatan dan ibadat.

Keadaan di Makkah boleh memberi kesan kepada keselamatan kanak-kanak hingga membabitkan nyawa. Justeru, keselamatan mereka lebih diutamakan daripada segala-galanya kerana sebarang kecuaian boleh mengundang padah.

Menurut Islam, pengawasan kanak-kanak bukan perkara asing. Jika kanak-kanak bersembahyang bersama ibu bapa pun diperintahkan untuk diawasi, apatah lagi pelaksanaan ibadat haji bersama jutaan jemaah haji yang lain.

Ulama fiqh tidak terlepas membincangkan pengawasan ibu bapa terhadap kanak-kanak. Kitab Tuhfatul Muhtaj Jilid 14 dalam bab haji ada menyebut mengenai tatacara membawa kanak-kanak mengerjakan haji: “Wali (ibu bapa kanak-kanak) bertanggungjawab untuk memakaikan ihram dan segala pelaksanaan ibadat bersama ibu bapanya seperti contoh membawa mereka ke Arafah dan tempat wukuf. Ibadat melontar dengan membawa kanak-kanak perlu hadir di tempat lontaran serta melontarnya.”

Haji kepada seseorang kanak-kanak yang belum baligh tidak menggugurkan kewajipannya untuk menunaikan ibadat haji selepas mencapai baligh. Banyak salah faham terhadap hadis mengenai haji kanak-kanak antaranya:

“Apabila berlalu rombongan, maka seorang perempuan menyapa Rasulullah SAW. Siapakah engkau? Aku Rasulullah. Kemudian, perempuan itu mengangkat anaknya. Adakah dia (kanak-kanak) ini boleh pergi menunaikan haji? Rasulullah SAW mengatakan: Ya dan bagimu (ibu) mendapat pahala.” (Hadis riwayat Muslim)

“Umrah dan haji dilakukan seseorang yang belum baligh dianggap amalan sunat dan ia tidak dikira haji dan umrah fardu.” (Buku Fatawa alLajnah adDaaimah)

Hadis itu menunjukkan ibadat haji kanak-kanak sah dan mendapat pahala. Lafaz kepada ibunya ‘bagimu pahala’ juga menunjukkan ibu bapa mendapat pahala kerana membawa, menjaga dan menjauhkan kanak-kanak daripada sebarang perkara diharamkan di Tanah Suci.

Bagaimanapun, ibadat kanak-kanak sebagai haji yang sunat dan kefarduan haji sebenar kepada kanak-kanak itu tidak gugur. Hadis diriwayatkan as-Saib bin Yazid berkata: “Aku dibawa menunaikan haji oleh bapaku bersama Rasulullah SAW, sedangkan aku pada waktu itu berusia tujuh tahun.” (Sahih Bukhari).

Imam at-Tirmizi seterusnya memberikan komentar dengan berkata: “Ulama bersepakat bahawa jika kanak-kanak menunaikan haji, maka hendaklah dia menunaikan haji bila berkemampuan kerana haji yang ditunaikan tadi tidak mencukupi (sebagai haji yang wajib).”

Kitab al-Mughni karangan Ibn Qudamah, dibincangkan secara terperinci mengenai haji kanak-kanak yang dinamakan babnya ‘Masalah Haji Kanak-Kanak’, yang dibahagikan kepada empat bab iaitu Ihram Kanak-Kanak, Kesalahan Ihram pada Kanak-Kanak, Kemampuan Kanak-Kanak Melaksanakan Setiap Ibadat dan Apa yang Dikenakan Fidyah kepada Kanak-kanak

Kanak-kanak yang mengerjakan ibadat haji akan mendapat pahala, begitu juga ibu bapa mereka. Bagaimanapun, haji kanak-kanak tidak menggugurkan kewajipan fardu haji dan jika mereka tidak menunaikan ibadat haji selepas baligh, maka waris diwajibkan qada.

Musnad as-Syafie menukilkan: “Mana-mana budak yang mengerjakan haji kemudian mati sebelum menunaikannya, maka hendaklah diganti hajinya dan apabila dia sudah baligh (tetapi tidak menunaikan haji), maka tunaikan hajinya.”

Begitulah hebatnya Islam, kerana sekecil-sekecil isu kanak-kanak menunaikan haji sudah disebut dalam hadis Baginda SAW. Malah, pentafsir kitab hadis lama turut meletakkan permasalahan haji kanak-kanak.

Semoga ia memberi pendedahan ilmu supaya ibu bapa lebih bertanggungjawab memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak sedaya dan kemampuan kita serta berdoa semoga kanak-kanak yang menjejak Tanah Suci dapat menunaikan haji selepas usia baligh kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: