alMabrur..

MAKNA SEBENARNYA MABRURNYA HAJI..

Istilah mabrur lebih mashyur dibibir masyarakat dari mengetahui maknanya sebenar. Apakah yang dimaksudkan haji mabrur sebenarnya?

Ibn Kholawaih mentakrifkan alMabrur sebagai alMaqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan (tarjih) oleh Imam Nawawi dengan pendapat tersebut (tidak bercampur dosa) [Fathul Bari, Bab : Kelebihan Haji Yang Diterima 5/155]

Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk”Kelebihan Haji Mabrur”. Manakala, Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima didalam bab “Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan”.

Ini berdasarkan 2 riwayat utama ialah Abu Hurairah dan Aisyah Radiyallahu’anha iaitu :

1- Riwayat dari Abu Hurairah Radiyallahu’anhu:

i

“Ditanyakan kepada Baginda manakah amalan yang lebih afdal? Maka dijawabnya iman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian apa? Jihad di jalan Allah. Kemudian? Sabdanya : Haji yang mabrur (diterima”). [Sahih Bukhari No 1422, Bab Kelebihan Haji Mabrur]

ii-
“Aku dengar Nabi bersabda : sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah, kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasiq, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya (bersih dari dosa-dosa)” [Sahih Bukhari No 1424, Bab Kelebihan Haji Mabrur]

2- Riwayat ‘Aisyah Radiyallahu’anha:

“Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan. Adakah kami perlu berjihad? Sabda baginda : Tidak, akan tetapi seafdal-afdal jihad ialah haji yang diterima (mabrur)”. [Sahih Bukhari No 1423, Bab Kelebihan Haji Mabrur]


BAGAIMANA MENCAPAI HAJINYA MABRUR?


Secara umumnya, sebagai seorang yang taat kepada Allah dan Rasulnya yang ingin mencapai haji yang diterima disisi Allah hendaklah memenuhi kriteria berikut;

1- Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riyak (Menunjuk-menunjuk).

Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith diatas dengan berkata “mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan almabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak ria’ pada hajinya” [Syarh Muslim 1/43 Bab : Iman Amalan Utama]

Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riya’ iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan ALlah

Didalam Musnad Ahmad, ada sebuah hadith:

“Sesiapa yang keluar dari rumahnya, pada tangannya ada dua bendera, satu bendera pada malaikat dan satu bendera pada syaitan, jikalau dia keluar dengan niat kerana Allah, malaikat akan mengekorinya bersama bendera tadi, maka bendera tadi masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya, dan jikalau dia keluar dari rumahnya melakukan kemurkaan kepada Allah, maka syaitan akan mengekorinya bersama benderanya, dan bendera tersebut masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya” [Bab : Musnad Abu Hurairah 17/478]

Malah, Rasulullah telah mengajar kita dengan doa-doa yang telah thabit didalam haditnya, antaranya doa ketika bermusafir:


“Ya Allah, Engkaulah Empunya permusafiran ini, dan khalifah didalam keluarga, berlindung denganmu dari keburukan permusafiran, kekaburan penglihatan, keburukan pada harta dan keluarga” [Sahih Muslim, Bab Apabila Bermusafir ke Haji. Hadith No 2392]

2- Kesemua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.

Didalam Sahih Muslim ada hadith menyebut:

“Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin megikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat alQuran

“Wahai sekalian Rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan [Surah alMukminun : 51]”

kemudian Rasulullah membacakan lagi :

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” [Surah alBaqarah 172]

Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata “Ya Tuhanku” sedangnya punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima??” [Riwayat Muslim No 1686, Bab Bersedekah dari sumber yang halal]

Imam Nawawi ada membawa kata-kata alQadhi ketika menafsirkan kalimah atToyyib iaitu
“baik bermakna suci dari sebarang kekotoran. Ia membawa makna kudus (suci murni)” [Syarh Sahih Muslim 3/457]

Oleh itu, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan haji meneliti dan bermuhasabah kembali sumber-sumber pendapatan, perbelanjaannya dan bekalannya disana dari sumber-sumber yang halal.


3- Melakukan fardhu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.

Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah didalam sunnahnya. Sebagai seorang muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah-nambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.

Ini sesuai dengan sabda Baginda;

“Sesiapa yang memperbaharui urusan agama (menokok tambah), maka mereka bukan dari kalangan kami (umat Muhammad)” [Muttafaqun ‘alaih]


Syeikh Mustafa azZarqa’ ketika ditanya makna haji yang mabrur, beliau menyatakan diantara ciri-ciri hajinya diterima ialah “hendaklah bagi tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau didalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah” [Panel Fatwa Bab : Hukum Haji dan Kelebihannya. Soalan : dari Bahrain]

4- Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya

Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab “Kau hanya sebuah batu yang tidak mempu memberi faedah dan mudarah, kalau bukanlah kerana Rasulullah mengucupnya, sudah aku aku tidak aku mengucupnya” []

Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.

5- Setelah menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji

Ini sesuai dengan hadith :


“Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah : Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita tersebut : Ya. Sabda Nabi : Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)”. [Sahih Bukhari No Hadith 1720, 6771]

Didalam hadith yang lain:

“Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas hamba-hambanya menunaikan haji. Bapaku seorang yang tua tidak mampu pergi bermusafir (ke Mekah), adakah aku perlu menunaikan haji untuknya? Sabda Rasulullah : Ya” [Sahih Bukhari No hadith 1417, Sahih Muslim No hadith 2375]


ADAKAH HAJI MABRUR MENGHAPUSKAN DOSA YANG BESAR?

Imam alMunzir antara yang berpendapat mengatakan bahawa haji yang diterima diampunkan sekaligus dosa yang besar mengikut mafhum hadith berikut;

“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq,kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa)” [Muttafaqun ‘alaih]

Syeikh Ibn Uthaimin menambah “Zahir maksud hadith ini ialah Haji menghapuskan dosa-dosa besar, dan kita tidak boleh menentang maksud zahir ini melainkan dengan membawa dalil. Ada beberapa orang dikalangan ulama’ mengatakan : Jika solat 5 waktu tidak boleh menghapuskan dosa apa-apa melainkan seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar, dan perkara ini (solat) lebih mustahak dan disukai Allah berbanding dengan Haji, maka Haji jatuh kepada bab yang awal (ertinya : Haji tidak dapat menghapuskan apa-apa dosa melainkan seseorang tidak melakukan dosa besar). Akan tetapi kami mengatakan : Inilah maksud zahir hadith (menghapuskan dosa besar & kecil), demi Allah yang Amat Berhikmah dengan apa yang dia lakukan, dan kita tidak boleh menggunakan qias membincangkan balasan/ganjaran Allah” [Fataawa Ibn Utsaimin, 21/40]


“.. dan haji yang diterima tidak ada balasan yang setimpal melainkan balasan syurga” [Muttafaqun ‘alaih]

Walaubagaimanapun, dosa-dosa besar hanya diampunkan melalui taubat kepada Allah sebenar-sebenar taubat.

Didalam Surah anNisa ayat 31 : “Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar, kami menghapuskan dosa-dosa kamu”

Ini disebut didalam Sahih Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah , daripada Baginda sabdanya “Solat lima waktu, jumaat ke jumaat, ramadhan ke ramadhan menjadi kifarat (penebus dosa) sekiranya dia telah menjauhi dosa-dosa besar” [Sahih Muslim 1/209, Sunan atTirmizi 1/418, Sunan Ibn Majah 1/196 Musnad Ahmad 2/229]

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama mendalami sebenar intipati fardhu haji. Semoga kita tergolongan didalam golongan orang-orang diterima hajinya disisi Allah Ta’ala. Dan kembalinya kita ke tanahair dari Mekah biarlah berdasarkan hadith yang telah disebutkan.

“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa)” [Muttafaqun ‘alaih]

mesrarakyat

9 Sept 2007

dikeluarkan didalam Berita Harian. Malangnya, tiada fatwa Uthaimin yang ada didalam artikel asal ini

Baca http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20070920224438/Article

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: